Tuesday, April 21, 2009

Kes Balak: MB Pahang Diarah Bayar RM63 JUTA


~Utusan Malaysia~
KUANTAN 20 April - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob melunaskan bayaran RM63 juta kepada syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn. Bhd. (Seruan Gemilang) dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.Bayaran itu berhubung satu kes melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Mukim Bebar, Pekan.Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Abd. Halim Aman selepas membenarkan permohonan difailkan pihak pemohon bagi mendapatkan relif iaitu suatu perintah mandamus (memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) terhadap Adnan.Dalam penghakimannya, Hakim Abd. Halim berkata, tindakan mandamus itu difailkan atas kegagalan pihak kerajaan negeri membuat bayaran terhadap jumlah penghakiman yang diperoleh sejak 25 Mei 2007 dengan segala "avenue" perundangan telah selesai dibuat pemohon."Pendirian seperti ini mencerminkan keengganan pihak kerajaan negeri mematuhi kehendak statutori di bawah Seksyen 33(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan lantas membebankan rakyat (pembayar cukai) secara tidak munasabah."Ini kerana ia akan membebankan kerajaan negeri dari segi faedah harian yang terakru terhadap jumlah penghakiman itu yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat juga," katanya.Seruan Gemilang diwakili peguam Rajoo D. Moothy dan Richard Bong Chong Fook, sementara Adnan diwakili oleh Datuk Shafie Abdullah.Hakim Abd. Halim berkata, permohonan responden tidak tepat apabila ingin mengenepikan tindakan mandamus itu melalui hujah bertulis bahawa Seruan Gemilang salah menamakan Menteri Besar sebagai responden.Menurutnya, Menteri Besar adalah seorang yang tepat dan berkelayakan dinamakan sebagai responden kerana di Pahang atau mana-mana negeri kecuali Sabah dan Sarawak tidak wujud jawatan Menteri Kewangan Negeri.Menurutnya, Artikel 41 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang turut menyatakan Menteri Besar mempunyai kuasa dan kompeten menyempurnakan jumlah bayaran dari Tabung Kumpulan Wang Yang Disatukan Negeri.Hakim Abd. Halim turut menjelaskan bahawa permohonan mandamus itu bukan lagi di peringkat litigasi, sebaliknya penguatkuasaan yang kini menjadi mandatori untuk kerajaan negeri mematuhinya.Pada 15 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur Sdn. Bhd. memfailkan satu perintah mandamus terhadap Menteri Besar Pahang berhubung kes melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di atas kawasan seluas 4,000 hektar di Mukim Bebar, Pekan.Pada 17 September lalu, kerajaan negeri diperintah membayar kira-kira RM60 juta kepada syarikat berkenaan selepas gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapat kebenaran merayu.Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum ketika menolak permohonan Kerajaan Pahang dan Pengarah Perhutanan Pahang selaku pemohon.Keputusan tersebut bermakna mengekalkan keputusan asal oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan kerajaan negeri Pahang membayar RM37,127,471.60 beserta faedah lapan peratus setahun mulai 31 Disember 2000.Dalam pada itu, Adnan ketika ditemui pemberita selepas istiadat pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-12 di Wisma Sri Pahang, enggan memberi sebarang ulasan dan menyerahkan perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Mat Zara'ai Alias.Sementara itu, Mat Zara'ai berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut esok.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...