Monday, May 18, 2009

Harun kembali terajui Ulama PAS

Malaysiakini
Muda Mohd Noor | May 18, 09 3:06pm
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib mengetuai semula Dewan Ulama apabila menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut dalam satu pengumuman hari ini.
Jawatan ketua Dewan Pemuda PAS pusat pula bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru - Nasrudin Hassan dan Zaki Ibrahim.
Manakala pertandingan bagi jawatan ketua Dewan Muslimat bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru - Nuridah Mohd Salleh, Dr Mariah Mahmud, Dr Asiah Ali dan Azizah Khatib Mat.
pas muktamar ke 55 annual general assembly 55 180509Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua Dewan Ulama.
Manakala jawatan timbalan ketua dewan tersebut, penyandangnya, Hashim Jasin - ADUN Sanglang - akan berdepan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.
Seramai 41 orang dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa pusat dewan berkenaan, antaranya, ahli Parlimen Baling, Taib Azamuddin Md Taib dan Datuk Mohamad Daud Iraqi.
Bagi Dewan Pemuda pula, lima orang dicalonkan masing-masing untuk bertanding jawatan timbalan dan naib ketua.
Manakala bagi Dewan Muslimat pula, empat orang dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan ketua dan tiga orang untuk naib ketua.
Bagi jawatan timbalan ketua pula, lima orang dicalonkan termasuk anak kepada Mursyidul Am PAS - Nik Abduh Nik Aziz.
Empat lagi ialah setiausaha dewan Pemuda, Ahmad Sabki Yusof; Azman Shapawi Abd Rani (naib ketua sekarang); Musoddak Ahmad (exco) dan Nasruddin.
Nik Abduh, Ahmad Sabki dan Azman Shapawi juga antara lima orang yang dicalonkan bertanding jawatan naib ketua Pemuda.
Tiga lagi ialah exco dewan tersebut, Firdaus Jaafar dan ketua penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat.
Seramai 45 orang dicalonkan sebagai ahli jawatankuasa pusat Pemuda, termasuk ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad; ketua Pemuda Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil; pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Taufik Abdul Ghani; timbalan ketua Pemuda Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah; bekas ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa.
Ahmad Sabki, Nik Abduh dan Suhaizan turut dicalonkan bertanding AJK.
Bagi Dewan Muslimat pula, empat orang dicalonkan bertanding jawatan timbalan ketua, termasuk penyandangnya, Wan Hasrina Wan Hassan.
Dr Siti Mariah dan Azizah yang dicalonkan untuk ketua, turut dicalonkan bagi merebut jawatan timbalan bersama dengan ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof.
Tiga orang dicalonkan bertanding jawatan naib ketua Muslimat, iaitu Senator Mumtaz Md Nawi, Siti Zailah dan exco kerajaan Kelantan, Wan Ubaidah Omar,
Manakala 39 orang dicalonkan untuk jawatankuasa pusat dewan berkenaan termasuklah ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali; exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali dan anak bekas presiden PAS, Nurul Huda Yusof Rawa.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali, ketika mengumumkan senarai pencalonan di atas berkata mereka mesti menjawab penerimaan pencalonan selewat-lewatnya pada 25 Mei ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...