Wednesday, April 22, 2009

Waran Tangkap Mohamad Sabu Ditarik Balik

~Laporan Utusan Malaysia 22/04/09~
NIBONG TEBAL 21 April - Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini membatalkan waran tangkap terhadap Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan sembilan pengikutnya yang gagal menghadiri perbicaraan kes menghalang tugas penjawat awam di mahkamah tersebut semalam.Majistret Nor Ashikin Mokhtar memutuskan demikian selepas mendengar permohonan wakil kumpulan peguam semua tertuduh, Yusnita Yusoff supaya waran tangkap itu tidak dikeluarkan atas alasan wujud kesilapan teknikal berhubung tarikh perbicaraan.Yusnita menjelaskan, kesemua anak guam mereka menyangkakan perbicaraan kes itu telah ditunda ke satu tarikh lain berikutan Majistret Mohd. Izham Ali yang sepatutnya mendengar kes itu sedang berkursus.Peguam tersebut juga memberitahu, Asmuni Awi yang mengetuai kumpulan peguam bela juga tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke wad hospital atas masalah kesihatan.Timbalan Pendakwa Raya, Mukhriz Mat Rus yang mengendalikan pendakwaan tidak membantah permohonan Yusnita.Nor Ashikin iaitu Majistret dari Mahkamah Butterworth yang menggantikan Mohd. Izham, kemudiannya menetapkan tiga hari mulai 28 September ini perbicaraan kes tersebut.Mohamad dibicarakan selepas dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghalang Supritendan Mohd. Nasir Salleh daripada menjalankan tugas sebagai penjawat awam melaksanakan waran tangkap terhadapnya yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur.Mohamad, 53, dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, di sini berhampiran susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Pulau Pinang kira-kira pukul 7.45 malam pada 9 Disember 2007.Jika sabit kesalahan, dia yang didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.Sembilan lagi tertuduh pula dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghalang tugas-tugas polis ketika penangkapan Mohamad di tempat dan waktu yang sama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...