Monday, May 11, 2009

Manoharan kekal ADUN Kota Alam Shah

Malaysiakini
ADUN Kota Alam Shah M Manoharan dari DAP yang dibebaskan dari tahanan di bawah ISA memutuskan untuk tidak mengosongkan kerusi DUN yang diwakilinya itu.
Katanya, keputusan untuk kekal sebagai ADUN itu dibuat kerana mahu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di kawasannya yang terus menyokongnya.

m manoharan"Saya akan memberi khidmat terbaik di kawasan saya dan memastikan mereka mendapat yang terbaik kerana selama ini mereka telah hilang 14 bulan perkhidmatan dan kehadiran saya di DUN Selangor," kata Manoharan ketika ditemui pemberita di rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong, dekat sini semalam.
Manoharan berkata sebelum ini beliau berhasrat meletakkan jawatan ADUN kerana rasa bersalah tidak dapat berkhidmat kepada penduduk yang diwakilinya, lapor Bernama.
Beliau berkata beliau ada menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 April lepas menyatakan hasrat itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti bagaimana perkara itu boleh bocor kepada umum.
Katanya sebelum ini beliau bercadang untuk mengumumkan hasratnya itu pada 19 Mei ini melalui Pengerusi DAP Karpal Singh.
Kepada soalan mengenai pembebasannya, beliau berkata, "Saya berterima kasih kepada kuasa rakyat".
Beliau juga berterima kasih kepada pengundi Kota Alam Shah yang bersabar menunggu 'kemunculannya'.
Manoharan adalah salah seorang daripada baki tiga pemimpin Hindraf yang dibebaskan semalam.
Beliau memenangi DUN Kota Alam Shah, pada pilihan raya umum lepas dengan majoriti 7,184 undi mengalahkan Ching Su Chen calon BN-Gerakan yang mendapat 5,515 undi.
Manoharan ditahan di bawah ISA pada Disember 2007.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...