Monday, June 1, 2009

Unit Amal Pas bantu penduduk

BAGAN DATOH - Unit Amal Pas Bagan Datoh dengan kerjasama Unit Amal Negeri turun padang membantu mangsa ribut yang melanda di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup. Penyelaras Unit Amal Bagan Datoh, Nurul Amin Ithnan berkata, aktiviti yang diadakan itu adalah salah satu aktiviti kemasyarakatan, tetapi kali ini melibatkan bencana. Menurutnya, seramai 20 anggota yang terlibat dalam operasi bantuan itu dan operasi dilakukan seharian bermula awal pagi sehingga petang. “Kami memberikan bantuan kepada penduduk seperti menebang pokok yang tumbang dan menghalang laluan di kampung-kampung, memasang bumbung rumah yang terjejas dan sebagainya. “Kami juga memberikan bantuan kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan keutamaan diberikan kepada mereka yang mengalami masalah yang teruk,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa terlibat dalam operasi membantu mangsa ribut, di sini, semalam. Hadir sama pada operasi itu, Setiausaha Unit Amal Kawasan Parit, Buhari Hasan; Ketua Kampung Pakatan Rakyat (PR), Hamzah Abdullah dan beberapa pemimpin tempatan. Menurutnya, sebelum ini, Unit Amal telah ke Lekir, Setiawan membantu mangsa yang terjejas di sana sebelum ke Bagan Datoh. “Unit Amal memberikan bantuan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada jawatankuasa kampung yang mengetahui rumah-rumah yang terjejas,” katanya. Amin berkata, operasi yang diadakan itu adalah untuk kepentingan masyarakat tanpa memilih bulu bagi memberikan bantuan tanpa menyusahkan rakyat. Menurutnya, Unit Amal akan meneruskan usaha membantu dan sekiranya diperlukan, Unit Amal akan menambah waktu khidmat mereka selama dua hari.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...